PERSATUAN BELIA
Pada 23 Julai 1948, pertemuan seramai 75 orang wakil-wakil pertubuhan di Victoria Institution telah membuka laluan kepada penubuhan Majlis Belia Malaysia (MBM). Ekoran dari penubuhan Jawatankuasa Khas Sementara Belia ini, Abdul Razak Hussein (Tun) dan Tuanku Ja’afar Ibni Tuanku Abdul Rahman telah mewakili Tanah Melayu di Persidangan Perhimpunan Belia Sedunia (World Assembly of Youth – WAY) di Brussel.
Perwakilan Belia yang bersidang pada Julai 1948 telah berbincang dan berusaha menubuhkan Majlis Belia Negeri dan Settlements. Majlis Belia Negeri Pulau Pinang dan Province Wellesley telah ditubuhkan pada 17 November 1948 dan merupakan Majlis Belia Negeri yang pertama di Tanah Melayu.
Majlis Belia Malaysia telah diiktiraf secara rasmi pada 9 September 1950 di Pulau Pinang setelah perlembagaannya diterima pakai. Mesyuarat Agung pertama telah diadakan dengan kehadiran badan-badan gabungannya iaitu Majlis Belia Negeri (Kedah, Terengganu, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang), Pertubuhan Budak Pengakap, Pandu Puteri (Malaya dan Singapura) dan Persaudaraan Belia Methodist Tanah Melayu. Mesyuarat telah menerima F.C Arulanandum sebagai Presiden (Pengerusi) Majlis Belia Malaysia yang pertama. Pada tahun 1951, kerajaan telah mengiktiraf Majlis Belia Malaysia sebagai Majlis Kebangsaan bagi pertubuhan belia negara ini.
Sumber maklumat:http://belia.org.my/